? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click "S BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Wednesday, September 2, 2009

PERANAN WANITA DALAM ISLAM


Beberapa bulan yang lepas, kita telah dikejutkan dengan berita yang berlaku di negara Jerman tentang seorang wanita Mesir yang telah dibunuh dengan kejamnya. Beliau telah ditikam sebanyak 18 kali oleh seorang lelaki Jerman. Apa yang lebih mengejutkan lagi adalah peristiwa ini telah berlaku di dalam mahkamah dan disaksikan oleh pihak berkuasa Jerman sendiri. Bagaimanakah kejadian ini boleh berlaku di tempat yang sepatutnya boleh diharap untuk mendapatkan keadilan di dunia ini? Tetapi sebaliknya yang berlaku. Adakah ini yang dinamakan keadilan? Keadilan di dunia yang sepatutnya hendak dituntut di mahkamah, namun ketidakadilan yg didapati. Di manakah juga nilai maruah seorang wanita muslimah?

Sebelum peristiwa wanita tersebut ditikam di makhamah, wanita itu telah dikeji dan dikatakan sebagai pemberontak semata-mata kerana beliau memakai sehelai kain di kepala yang mana dengannya juga, wanita tersebut sebenarnya telah membuat kenyataan secara tidak langsung bahawa dia adalah seorang Muslimah yang beriman. Suatu ketika dahulu semasa zaman Rasulullah s.a.w., satu gerombolan tentera dihantar ke Bani Qainuqa’ semata-mata untuk menuntut bela terhadap seorang wanita Muslim yang ditarik hijabnya oleh seorang lelaki Yahudi. Sekarang ini bagaimana? Terhad sungguh cara untuk kita menuntut bela terhadap wanita Egypt yang telah ditikam di Jerman itu. Kita tidak sama sekali punyai kekuatan ketenteraan mahupun kesatuan untuk berbuat lebih daripada demonstrasi contohnya. Tidak memerlukan banyak perkiraan untuk kita juga melihat bahawa dunia sekarang dikuasai oleh thoghut. Merekalah yang menjadi pemimpin dunia. Muslim sebaliknya ditindas dan rata-rata dalam keadaan melarat. Nampaknya Islam masih jauh daripada menjadi ustaziatul alam yang memimpin dunia dan manusia sejagat.

Di sinilah peranan kita semua yang mengaku sebagai seorang Muslim yang telah melafazkan shahadah bahawa Allah s.w.t. lah satu-satunya tuhan yang berhak disembah dan Nabi Muhammad s.a.w. adalah ikutan kita. Kita sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang sangat besar untuk sama-sama mengumpulkan tenaga, buah fikiran dan apa jua kekuatan yg kita ada utk meninggikan kalimah Allah s.w.t. di muka bumi ini. Dalam melaksanakan usaha yang murni ini, wanita sama sekali tidak boleh ketinggalan. Allah s.w.t. sendiri telah memberi status dan kewajiban yang sama untuk para wanita berusaha berganding bahu bersama-sama dengan lelaki dalam segala usaha ke arah kebaikan. Allah s.w.t. berkali-kali berfirman di dalam al-Quran untuk kita berlumba-lumba ke arah kebaikan dan di beberapa tempat juga Allah s.w.t. menyebut laki-laki bersama dengan perempuan dalam seruanNya melakukan amal kebaikan. Salah satu daripada nya adalah Surah at-Taubah: 71-72, di mana Allah s.w.t. berfirman:

“Dan orang-orang yang beriman, laki-laki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan salat, menunaikan zakat dan taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana. Allah menjanjikan kepada orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan syurga yang mengalir dibawahnya sunga-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan tempat yang baik di syurga ‘Adn. Dan keridhaan Allah lebih besar. Itulah kemenangan yang agung.”

Sememangnya wanita mempunyai peranan di mana sahaja mereka berada dan dalam kedudukan apa sekali pun. Hatta sebagai seorang isteri mahupun sebagai seorang ibu, mereka mampu memainkan peranan untuk menggegarkan dunia ini. Tidak sepatutnya seorang wanita itu merasakan dirinya hina dan mengatakan bahawa dia hanyalah seorang suri rumah dan menjaga anak-anak di rumah semata-mata. Ketahuilah bahawa dengan usaha mendidik anak-anak lah lahirnya mujahidin yg hebat, lahirnya para mujtahid ternama dan juga lahirnya pemimpin-pemimpin Islam terkemuka. Di tangan para ibu yang hebat inilah lahirnya laki-laki hebat seperti Imam Bukhari, AsShahid Abdullah Azzam, AsShahid Hassan Al Banna, Imam Ghazali dan ramai lagi. Dengan usaha wanita jugalah munculnya para lelaki yang menjadi suami yang hebat-hebat. Tentu ada benarnya kata-kata bahawa di belakang setiap lelaki hebat, adanya wanita yang hebat. Ini adalah kerana wanita hebat inilah yang sentiasa memberi kata-kata semangat dan perangsang serta menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bagi terhadap si suami. Oleh itu, janganlah para wanita sama sekali memperkecilkan peranan yang sangat besar yang mampu mereka mainkan untuk merubah dunia ke arah kebaikan.

Begitu juga dengan isu hijab. Kadang-kadang tanpa kita sedari, dengan sekeping kain di kepala yang bernama tudung atau hijab inilah juga peranan amat besar yang wanita boleh sumbangkan ke arah membawa manusia kepada Islam dengan da’wah bil hal (memanggil seseorang kepada Islam dengan perbuatannya). Ia juga boleh menimbulkan beberapa persoalan dalam benak fikiran mereka yg bukan Islam, contohnya “Kenapa wanita Islam ini sanggup berpanas-panasan dengan menutup penuh dari hujung kepala ke hujung kaki walaupun di hari yang panas terik?” Dengan soalan seperti ini yang bermain-main dalam fikiran mereka ini, berkemungkinan akan membuatkan mereka berminat untuk mengenali Islam dengan lebih lagi. Selain daripada itu, sering kita dengar akan tohmahan yang dilontarkan terhadap Islam berkaitan dengan isu hijab ini, contohnya dengan mengatakan semua wanita Islam yang memakai hijab adalah kolot dan tertindas. Walaupun demikian, dunia telah menyaksikan bahawa semakin ramai wanita barat telah tertarik dan seterusnya memeluk Islam alhamdulillah.

Isu hijab ini juga telah dijadikan sebagai satu bahan yang di bincangkan sehingga di parlimen oleh sesetengah pemimpin barat. Contohnya terbaru adalah bilamana Presiden Perancis Nicolas Sarkozy telah berpidato di dalam Parlimen Nasional dengan mengatakan bahawa burka iaitu pakaian yang menutup wanita dari kepala hingga kaki tidak diterima di Perancis. Beliau mengatakan bahawa masalah burka bukan isu keagamaan tetapi adalah masalah kebebasan dan masalah martabat wanita. Beliau mahu meliberasikan wanita Islam yang kononnya tertindas dengan pemakaian hijab. Ini adalah satu penipuan yang besar, kerana dengan menyekat wanita daripada memakai hijablah, telah sebenarnya menindas dan mengongkong wanita Islam daripada membuat pilihan sendiri untuk memenuhi suruhan dan larangan tuhanNya. Sebelum ini, Perancis juga telah melarang wanita di Perancis untuk memakai hijab di sekolah-sekolah dan universiti. Akibatnya ada wanita Muslim yang menghadapi masalah memasuki universiti. Apakah yang pemimpin barat ini harapkan daripada sekatan tersebut? Bagaimana pula dengan isu-isu dalam dan luar negara yang lebih penting? Kenapa isu hijab pula yang menjadi fokus para pemimpin negara tersebut? Apa yang kita boleh ambil pengajaran daripada isu ini adalah bahawa pemimpin barat seperti Presiden Sarkozy ini semestinya punyai agenda yang lebih besar iaitu untuk menjatuhkan Islam. Sekatan seperti ini sebenarnya juga adalah suatu peperangan dengan Islam secara halus.

Isu hijab ini juga mengajar kita sesuatu yg besar iaitu bahawa wanita Islam sepatutnya berbangga dengan identiti muslimah yang Allah s.w.t. berikan kepada mereka dengan adanya syariat untuk menutup aurat mereka termasuklah rambut di kepala dengan sehelai kain yang bernama tudung. Identiti yang sekiranya digunapakai akan melayakkan mereka untuk mendapat hadiah yang sangat lumayan di sisi Allah s.w.t iaitu syurga dan redha Allah s.w.t. Inilah satu penghargaan daripada Allah s.w.t. kerana memenuhi suruhan Nya. Dengan identiti muslimah ini juga wanita yang telah ditikam sebanyak 18 kali di Jerman itu, telah mendapat ‘penghargaan’ di dunia lagi apabila beribu-ribu orang manusia di Mesir telah berkumpul untuk memberi ’tribute’ kepada beliau yang diberi gelaran sebagai ‘headscarf martyr’ (shahid kerana tudung). Semoga Allah s.w.t. memberi kekuatan kepada semua wanita Islam di dunia ini untuk merasa izzah dengan Islam serta berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan segala tuntutan dan suruhan Allah s.w.t. dalam segenap aspek duniawi dan ukhrawi, demi untuk sama-sama menyumbang ke arah meninggikan kalimah Allah s.w.t. di muka bumi ini. Ameen ya Rabbal ‘Alamin.

Dr Eleena Masnee Abdul Samad
Ameerah MSM

0 comments: