? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click "S BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Friday, October 2, 2009

Jenazah Noordin Mat Top selamat dikebumikan di Pontian


PONTIAN: Sembilan tahun selepas beliau melarikan diri dari Malaysia, pengganas nombor satu Asia Noordin Mat Top yang terbunuh di Indonesia bulan lepas, selamat dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Kayu Ara Pasong di sini kira-kira 7 malam ini.

Sebelum itu, ketibaan jenazah allahyarham Nordin yang mengetuai kumpulan serpihan radikal Jemaah Islamiyah (JI) di Masjid Nurul Iman kampung berkenaan kira-kira 6 petang telah disambut dengan laungan "Allahhuakbar" oleh lebih 500 penduduk kampung itu.
Jenazah allahyarham yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dari Jakarta dengan penerbangan Malaysia Airlines kira-kira 3 petang, telah dibawa pulang ke Pontian menggunakan van jenazah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Putrajaya dengan diiringi oleh anggota polis.

Abang Noordin, Yahya dan isteri pertamanya, Siti Rahmah Rusdi, seorang guru al-Quran di Kampung Sungai Tiram, Johor Baharu yang telah ke Jakarta semalam untuk menuntut jenazah allahyarham di Rumah Sakit Kramat Jati, turut mengiringi perjalanan terakhir jenazah kembali ke kampung halamannya hari ini.

Noordin yang mengetuai kumpulan serpihan JI yang dikenali sebagai "Tandzim Al Qaedat Jihad Indonesia" terbunuh pada 17 Sept lepas di dalam satu operasi oleh pasukan khas anti keganasan Indonesia Detasmen Khusus 88 di Kepuhsari, Solo, Jawa Tengah.

Turut sama kelihatan di masjid terbabit adalah tiga orang anak Noordin hasil perkahwinannya dengan Siti Rahmah dan sanak saudara beliau.

Sejurus selepas jenazah tiba di perkarangan masjid, beberapa anggota keluarga rapat allahyarham tidak dapat mengawal emosi dengan menitiskan air mata dan ada yang pengsan sebaik sahaja melihat keranda yang bertuliskan nama Noordin dibawa masuk untuk solat jenazah.

Sementara itu, Masjid Nurul Iman yang terletak kirakira 100 meter dari rumah keluarga Noordin mulai sesak dengan anggota keluarga dan penduduk kampung sejak awal pagi selepas berita tentang pengebumiannya hari ini tersebar.

Jalan raya menuju ke masjid, rumah keluarga Noordin dan tanah perkuburan di kawal ketat oleh anggota polis bagi memastikan upacara pengebumian allahyarham berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Noordin yang dikenali sebagai "Money Man" bagi JI didakwa bertanggungjawab merancang siri pengeboman di Indonesia termasuk serangan ke atas dua buah hotel mewah di Jakarta barubaru ini yang mengakibatkan sembilan orang terbunuh termasuk dua orang pengebom berani mati.

Pada November 2005, rakan baik Noordin yang juga merupakan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Dr Azahari Hussin yang digelar "Demolition Man" kerana kepakarannya membuat bom terbunuh di dalam satu operasi pasukan keselamatan Indonesia di Malang, Jawa Timur - BERNAMA

NOORDIN DISYAKI SOROK LETUPAN DALAM DUBUR
Spekulasi pengganas diliwat boleh cetus kemarahan

JAKARTA: Seorang pakar forensik patologi kelmarin berkata pemeriksaan mayat dalang pengganas Noordin Mohammed Top, yang terbunuh dalam satu serbuan polis di Jawa Tengah bulan lalu, menunjukkan bahawa dia pernah diliwat pada satu ketika ketika hayatnya.

"Terdapat keganjilan pada dubur Noordin kerana ia berbentuk seperti corong," kata Mun'im Idris, seorang pakar patologi forensik dari Universiti Indonesia. "Ia menunjukkan seseorang pernah meliwatnya."

Mun'im adalah sebahagian pasukan pakar yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat Noordin, warga Malaysia yang dikehendaki kerana beberapa siri serangan yang dilakukan di seluruh negara atas nama Islam.

Tidak jelas mengapa Mun'im mengeluarkan maklumat itu. Badaruddin Ismail, jurucakap keluarga Noordin di Malaysia memberitahu Jakarta Globe bahawa beliau menerima dakwaan itu namun menegaskan tidak jelas bila perkara itu berlaku sama ada ketika Noordin masih kecil atau dewasa.

"Saya tidak tahu mengenai kehidupan peribadinya, justeru saya enggan mengulas lanjut," katanya.

Rangkaian media lain yang menerbitkan berita sama membuat spekulasi berhubung "keganjilan seksual" Noordin akibat perilaku homoseksual.

Namun pakar lain membuat spekulasi bahawa keadaan Noordin mungkin disebabkan kerana menyimpan atau menyembunyikan bahan letupan dalam duburnya.

Menyembunyikan bahan letupan dalam tubuhnya adalah kaedah digunakan seorang pengganas yang cuba membunuh putera Arab Saudi, Mohamed bin Nafey, Ogos lalu ketika majlis berbuka puasa di rumahnya.

Bulan ini, majalah Newsweek menerbitkan satu rencana mengenai strategi baru pengganas yang menyembunyikan bahan letupan dalam tubuh mereka untuk mengelak dikesan pengesan keluli.

Komen Mun'im mungkin mencetuskan kemarahan di kalangan sesetengah anggota pelampau yang menyokong Noordin dan pengikutnya.

Dalam perkembangan lain, jurucakap Polis Nasional, Nanan Soekarna, berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai dakwaan itu.

"Saya masih belum menerima laporan mengenai keganjilan pada tubuh Noordin kerana ia bukan sebahagian siasatan," katanya sambil menambah maklumat itu tidak akan menjejaskan siasatan.

Nanan juga berkata, keluarga Noordin boleh menuntut jenazahnya semalam.

"Jenazah Noordin boleh dituntut keluarganya Khamis (semalam) kerana kami sudah merumuskan hasil siasatan," katanya sambil menambah keluarga itu akan datang ke ibu pejabat sebelah pagi dan pergi ke Hospital Kramat Jati dengan pegawai daripada Polis Nasional pada tengah hari.

Badaruddin berkata, keluarga itu dijangka menuntut jenazah. – Agensi

0 comments: