? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click "S BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Friday, October 16, 2009

'Bangkit Bersama Saya!!!


Najib mahu ahli Umno rapat barisan, martabatkan parti

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan dasar sulungnya selaku Presiden Umno pada Perhimpunan Agung parti itu, semalam, mengajak seluruh saf kepemimpinan dan ahli di semua peringkat bangkit kembali bersamanya bagi memartabatkan Umno.

"Bangkitlah bersama-sama saya, rapatkanlah barisan. Sahutlah panggilan. Marilah martabatkan warisan ini (Umno)," kata Perdana Menteri disambut tepukan gemuruh perwakilan yang berdiri hormat sepanjang lima minit terakhir ucapannya bertema 'Menjunjung Tradisi, Menzahir Perubahan'.

Dalam ucapan selama satu jam 20 minit itu, Najib turut meyakinkan ahli Umno bahawa perjuangan mereka adalah betul dan yang haq kerana Umno adalah satu-satunya parti yang membawa obor harapan serta mampu meneroka masa depan penuh gilang gemilang untuk bangsa Melayu dan rakyat keseluruhannya.

"Walau apapun dugaan, walau apapun rintangan, bersama segunung harapan, perjalanan ini kita teruskan, bersama menggenggam keyakinan, segala impian pasti dilunaskan, setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung," katanya disusuli sorakan 'ya' dan tepukan gemuruh 2,541 perwakilan serta kira-kira 2,000 jemputan yang memenuhi ruang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) di sini.

Perdana Menteri turut membangkitkan semangat perwakilan menerusi bacaan puisi yang mengajak ahli Umno bersamanya berjuang menghadapi cabaran.

'Tradisi tetap kita junjung, perubahan tetap kita zahirkan,

Kendati tergantung awan di langit,
Telah terlanjut kubentangkan layar
Walau badai datang menggulung
Walau berdentum guruh di langit
Walau bumi berkeping dua, tak kan mungkin ku berbalik haluan.'


Pada setiap baris bait puisi yang dibaca, perwakilan berulang menyahut 'ya' sambil menggenggam jari dan mengangkat tangan tanda menyokong seruannya.

Najib menegaskan Umno juga perlu menyegarkan kembali budaya khidmat dan kesukarelawanan dalam parti, berpegang kepada falsafah 'wasatan', iaitu bersederhana, membentuk satu saf berasaskan pertautan pemikiran dan tindakan serta kerap melakukan muhasabah diri, sekali gus merapatkan diri kepada akar umbi.

Sambil mengingatkan rakyat akan membenci pemimpin yang memisahkan diri dari mereka dan sukar didekati, beliau berkata, setiap ahli Umno perlu mengikhlaskan diri untuk menumpah bakti dan jasa kepada rakyat tanpa disuruh-suruh demi kepentingan parti dan rakyat Malaysia.

Merujuk kepada lirik lagu seniman agung Allahyarham P Ramlee, 'berkorban apa saja, harta ataupun nyawa, itulah perjuangan sebenar, sejati dan mulia', Perdana Menteri berkata, setiap ahli Umno wajar kembali menyumbang kepada masyarakat untuk mendapat keberkatan dalam berparti dan dirahmati Allah SWT.

Katanya, begitu ramai golongan profesional seperti peguam, doktor, akauntan dan jurutera yang menjadi ahli parti, namun malangnya pada saat-saat parti memerlukan kerja sukarela, seperti pada musim pilihan raya, tidak ramai yang tampil membantu dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan.

"Barangkali, mereka ini tidak mendapat tempat di cawangan atau mungkin borang keahlian mereka hilang di tengah jalan," katanya.

Najib berkata, untuk menjadi parti yang berjaya, ahli Umno tidak boleh terpisah daripada arus pemikiran dan aspirasi rakyat kerana rakyat pada hari ini mahukan parti dan kerajaan yang memahami kehendak mereka serta mendampingi rakyat secara langsung.

"Realitinya, rakyat mahukan supaya pandangan mereka diambil kira dalam menentukan hala tuju negara. Untuk itu, kita mesti meneruskan proses islah dan menzahirkan perubahan yang sesuai dengan masa.

"Kita mesti dikenali sebagai parti yang bukan sekadar mampu melakar perubahan tetapi berupaya pula menzahirkan perubahan itu," katanya sambil menambah pemimpin yang paling didambakan dan digemari rakyat mestilah yang bersifat merendah diri dan Tawadhuk.

Mengenai pindaan perlembagaan parti, Perdana Menteri berkata, ia adalah satu tindakan berani Umno ke arah menjadi sebuah parti yang lebih telus, inklusif serta demokratik dan menyebabkan pihak tertentu melatah hingga ada yang tanpa segan silu cuba meniru dan sekonyong-konyong meminda perlembagaan parti mereka walaupun tanpa perincian yang rapi.

"Inilah tembelang, aliran dan gaya sebenar pihak terbabit yang suka membuat janji umum yang tidak pula ada susunan tertentu.

"Berbanding pindaan yang kita lakukan, bukan sekadar bersifat kosmetik mahu pun tempel-tempelan, sebaliknya perubahan secara tuntas dan signifikan. Ia akan meluaskan bilangan ahli yang terbabit secara langsung untuk memilih kepemimpinan parti.

"Ia membabitkan anjakan angka daripada sejumlah 2,500 perwakilan kepada lebih 146,000 orang. Inilah petanda bahawa semangat demokrasi hidup segar dan hidup subur dalam Umno," katanya yang mahu setiap ahli parti berhijrah meninggalkan gejala negatif politik wang supaya Umno menjadi parti yang bersih dan dihormati.

Najib juga berkata, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mustahak bagi sesebuah parti politik untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan yang kuat serta stabil tetapi ia perlu dilakukan dengan memilih calon yang tepat, iaitu seseorang yang diterima masyarakat tempatan, mempunyai kualiti untuk berkhidmat kepada tiga peringkat penting iaitu rakyat, parti dan negara.

"Selain itu, budaya berparti dalam Umno haruslah bersifat inklusif dan bukannya insular atau terpulau. Lebih banyak program penataran yakni 'outreach' harus dilaksanakan," katanya.

Beliau juga menegaskan Umno harus kekal menjunjung tradisi perjuangan, melakukan gerak kerja parti selari dengan tuntutan zaman dan tidak boleh dilihat sebagai parti yang condong kepada satu pihak saja, sebaliknya terus menjuarai kebajikan dan periuk nasi semua rakyat.

"Khidmat Umno harus merata, menjadi parti yang pro kepada pertumbuhan ekonomi berdaya tahan, menjamin pengagihan kekayaan yang adil, jaringan keselamatan sosial menyeluruh dan kos hidup terkawal.

"Umno adalah parti massa yang lahir menjunjung aspirasi akar umbi bangsa untuk menebus maruah yang tergadai. Sejarah telah membuktikan apabila Umno dekat dengan rakyat, apabila Umno menyelami denyut nadi mereka, maka rakyat akan memberikan sokongan kepada Umno," katanya.

0 comments: