Perbicaraan Anwar bermula hari ini
Oleh AMIRUDDIN HARUN
dan SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my
Anwar Ibrahim bersama isteri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada perbicaraan kes liwat yang dihadapi beliau di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 2 Feb. – Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tertangguh sejak Julai tahun lalu diperintahkan bermula pada pukul 2.30 petang esok di Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memerintahkan demikian selepas menolak permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu untuk menangguhkan perbicaraan tersebut.
‘‘Dalam kes ini, saya mendapati tidak ada apa-apa keadaan luar biasa yang membolehkan penangguhan. Oleh itu, permohonan ditolak dan perbicaraan akan diteruskan,’’ katanya sambil berharap agar tiada lagi penangguhan dibuat.
Bagaimanapun perintah itu masih belum muktamad kerana ia bergantung kepada perintah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff yang akan ditemui pagi esok oleh peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar dan wakil pihak pendakwaan.
Menurut Karpal, sama ada perbicaraan akan diteruskan atau ditangguhkan, ia akan ditentukan oleh Hakim Alauddin.
Pertemuan dengan Hakim Alauddin dibuat bagi membolehkan semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu yang menolak rayuan Anwar supaya dibekalkan dengan dokumen penting pendakwaan, dapat didengar secepat mungkin.
Pada prosiding hari ini, Hakim Mohamad Zabidin menolak permohonan penangguhan oleh Ketua Pembangkang itu setelah selesai mendengar hujahan Karpal dan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai barisan pendakwaan.
Anwar pada Khamis lalu memohon penangguhan perbicaraan sementara menunggu pendengaran rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan liwat.
Terdahulu, Mohd. Yusof dalam hujah bantahannya menyatakan, tiada keadaan luar biasa dikemukakan bagi membolehkan penangguhan perbicaraan dibenarkan.
Menurutnya, pemohon hanya menyatakan bahawa pihak pembelaan mempunyai laporan perubatan yang menyatakan tiada kemasukan zakar (penetrasi) tertuduh ke dalam dubur mangsa.
Beliau bagaimanapun menafikan hujahan itu dengan menyatakan laporan perubatan tersebut adalah tidak konklusif kerana ia hanyalah laporan awal doktor yang memeriksa pengadu.
Menurutnya, sama ada terdapat kemasukan atau sebaliknya hanya boleh ditentukan oleh doktor-doktor terbabit semasa mereka memberi keterangan di mahkamah.
Mohd. Yusof menegaskan, pendakwaan terhadap Anwar juga dibuat berdasarkan bukti bahawa terdapat spesimen air mani yang ditemui daripada tubuh pengadu.
‘‘Daripada tiga spesimen yang diambil, dua sudah dikenal pasti manakala satu lagi menjurus kepada spesimen air mani yang disyaki milik tertuduh. Maka keterangan pakar kimia akan dipanggil untuk mengesahkannya,’’ ujar beliau.
Menurutnya lagi, bukti sedemikian yang tiada dalam pemilikan pihak pembelaan hanya boleh disokong melalui keterangan ahli kimia terbabit.
Dalam hujahnya, beliau juga menyatakan bahawa laporan perubatan yang dimiliki pihak pendakwaan tidak menyatakan ‘plastik’ dimasukkan ke dalam dubur pengadu seperti yang didakwa oleh Karpal.
Karpal dalam hujahnya sebelum itu memberitahu, dua laporan perubatan oleh doktor yang memeriksa Mohd. Saiful Bukhari Azlan menunjukkan tiada elemen-elemen kemasukan ke dalam dubur pengadu.
Menurutnya, laporan perubatan pertama oleh Hospital Pusrawi menyatakan bahawa bekas pembantu Anwar itu telah mengadu terdapat kemasukan ‘plastik’ ke dalam duburnya dan mengalami sembelit selama seminggu.
Namun, kata Karpal, berdasarkan laporan bertarikh 28 Jun 2008, doktor terbabit tidak menemui sebarang pendarahan pada dubur pengadu.
Sehubungan itu, menurutnya, mahkamah terkhilaf sewaktu menyatakan tidak terdapat penemuan konklusif yang menyatakan terdapat kemasukan ke dalam dubur pengadu.
‘‘Pertuduhan terhadap tertuduh seharusnya diketepikan kerana ia adalah berniat jahat, remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah,’’ katanya.
Pada prosiding sebelah pagi, Hakim Mohamad Zabidin membenarkan penangguhan sehingga 2.30 petang ini bagi membolehkan pihak pembelaan dan pendakwaan menemui Ketua Hakim Negara untuk mendapatkan tarikh awal semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu.
Wednesday, February 3, 2010
MEMORI 1998???
Posted by ~yatie~ at 11:21 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment